TURUT BERDUKA CITA ATAS TEWASNYA MANTAN PERDANA MENTERI PAKISTAN BENAZIR BHUTTO AKIBAT TEMBAKAN DAN SERANGAN BOM BUNUH DIRI DI RAWALPINDI PADA 27 DES 2007. BENAZIR BHUTTO ADALAH SIMBOL MODERNITAS DAN DEMOKRASI DI PAKISTAN. KAMI RAKYAT INDONESIA MENGUTUK KERAS AKSI TEROR TERSEBUT.

PETISI UNTUK BADAWI

PETISI UNTUK BADAWI
Sumber: http://www.malaysia-today.net/petisyen_rakyat.html

Bismillaahir-rahmaanir-rahiim

Menghadap ke majlis Seri Paduka Baginda,

Alwathiqubillah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Almuktafi Billah Shah, yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia dengan penuh daulat dan kebesarannya serta didoakan senantiasa baginda berada dalam perlindungan Allah yang Mahakuasa dengan dianugerahkan bertambah-tambah lagi kemuliaan serta darjat jua adanya: Amiin Ya Rabbuljaliil.

Ampun Tuanku,

Patik merafak sembah memohon limpah perkenan Tuanku semoga mempersudikan menerima dan menimbangkan warkah rayuan yakni petisyen yang tak sepertinya ini yang dipersembahkan bagi pihak rakyat Tuanku yang peka terhadap kejadian dan keadaan masyarakat yang kian meruncing dan membimbangkan. Patik sekalian mengharapkan perkenan pertimbangan Tuanku yang penuh ihsan dan bijaksana jua demi memelihara dan mengekalkan kesejahteraan , kebajikan dan kebahagiaan rakyat yang taat setia kepada Tuanku.

Ampun Tuanku,

Berikut adalah tajuk dan rayuan yang amat tulus bagi perkenan tatapan Tuanku:

KERAJAAN YANG SEMAKIN LESU BERGELUMANG DALAM RASUAH DI BAWAH KEPIMPINAN DATO' SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI, PERDANA MENTERI MALAYSIA

Negara Tuanku sekarang berada dalam keadaan gawat dan tidak menentu masa depannya. Pimpinan Kerajaan makin lesu, tidak teratur, bergelumang dalam rasuah dan komplot politik. Negara tidak lagi bergerak maju dan rakyat sudah merasa jauh ketinggalan berbanding keadaan sebelum ini.

Ekonomi negara digembar-gemburkan oleh Kerajaan sebagai sihat dan melonjak tetapi dari mana dan ke mana terlonjaknya rakyat tidak dapat merasainya.

Politik negara makin tegang dengan tercetusnya berbagai jenis masalah dan komplot yang hampir semuanya tidak menemui penyelesaian yang baik. Rusuhan sudah bermula di sana-sini dan ketegangan perkauman dan keagamaan semakin meningkat.

Ampun Tuanku, izinkan patik menyenaraikan antara keadaan yang ada seperti berikut:

1) Dua rakyat Terengganu telah ditembak oleh Polis baru-baru ini. Kerajaan menutup kes ini dengan menghantar 'hamper' kepada mangsa tembakan. Ke mana lagi rakyat boleh mengadu?

2) Rusuhan dan pembunuhan yang telah berlaku di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor dalam minggu sambutan Ulangtahun Merdeka ke-50. Patik khuatir, jika rusuhan ini sebenarnya tidak mempunyai sebab, melainkan diwar-warkan oleh orang tertentu yang tidak bertanggungjawab.

3) Laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan rasuah dan penyelewengan wang rakyat oleh Kerajaan yang mengakibatkan kerugian berbilion Ringgit. Namun, Laporan Ketua Audit Negara tidak memberi kesan kepada sesiapa pun, terutama sekali kepada Kerajaan. Penyelewengan wang rakyat masih berterusan dari tahun ke tahun, walaupun pendedahan dilakukan saban tahun dalam Laporan Ketua Audit Negara.

RM4.6 bilion wang rakyat telah dibazirkan untuk menutup penyelewengan pembelian tanah di Pelabuhan Klang. Begitu juga lebih RM5.35 bilion telah disalahgunakan dalam pembelian kapal perang bagi tentera laut. Kerajaan langsung tidak pedulikan Laporan Ketua Audit Negara.

4) Polis Di Raja Malaysia sekarang sudah tercemar dengan rasuah dan pengaruh anasir jahat sehingga bekas Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar telah berkata lebih 40% pegawai atasan Polis terlibat dalam rasuah.

5) Keluhuran undang-undang dan perjalanan sistem keadilan makin hancur, sepertimana didakwa oleh beberapa Pegawai Polis yang berpangkat, menerusi Pengakuan Berkanun. Mereka mendakwa bahawa kumpulan jenayah besar sekarang sudah mempengaruhi Polis Di Raja Malaysia. Sekali lagi Pengakuan Berkanun oleh Pegawai Polis ini tidak disiasat atau diambil tindakan oleh Kerajaan.

6) Keadaan institusi kehakiman negara juga amat membimbangkan di mana hakim yang lebih berpengalaman dan lebih berkelayakan dipinggirkan manakala hakim yang tidak berpengalaman termasuk hakim yang mempunyai kecacatan dalam rekod perkhidmatan dinaikkan pangkat. Walaupun perkara ini disebut dan dibuktikan di Parlimen, iaitu Dewan tertinggi untuk menyuarakan kebimbangan rakyat, Kerajaan tidak mengendahkannya dan tiada tindakan diambil bagi memperbaiki keadaan.

Sebaliknya, Perdana Menteri yang tidak faham 'separation of powers' telah 'mengarah' Ketua Hakim Negara menyiapkan laporan untuk menjelaskan keadaan. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa memberi sebarang arahan kepada Ketua Hakim Negara. Tetapi itulah keadaan dalam negara kita sekarang, sehingga Perdana Menteri sendiri tidak faham tatacara Kerajaan.

7) Ketegangan kaum dan agama semakin meruncing dalam negara kita. Laporan rusuhan kaum di Masai, Johor dan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur mewakili rasa ketidakpuasan rakyat yang boleh mencetuskan rusuhan perkauman.

8) Nama Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi tersabit dalam skandal 'Oil-for Food' di Iraq. Nama anak beliau Kamaluddin Abdullah dan syarikat Scomi kepunyaannya tersabit dalam skandal 'nuclear parts for Libya'. Nama anak menantu beliau Khairy Jamaluddin tersabit dalam berbagai percaturan wang (ECM Libra, Equine Capital, Air Asia dan sebagainya). Namun demikian tidak ada tindakan yang diambil terhadap Perdana Menteri atau ahli keluarganya. Ke mana lagi rakyat dapat mengadu?

9) Pilihan raya dipermainkan oleh alat Kerajaan. Pilihan raya kecil mendedahkan penyalahgunaan harta Kerajaan untuk membantu parti politik yang berkuasa. Isu pengundi hantu masih berleluasa sewaktu pilihan raya. Kita perlu memperbaiki sistem pilihan raya yang masih diperalatkan dengan begitu mudah oleh parti memerintah. Rakyat tidak lagi mempunyai tempat untuk mengadu.

10) Kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu jelas mendedahkan persubahatan jahat antara pemimpin Kerajaan, pentadbiran Kerajaan, Polis Di Raja Malaysia dan Pendakwaraya. Sehingga kini, saksi Polis telah membawa 'watak lucu' yang langsung tidak serius. Diari siasatan yang hilang, Laporan Polis berlainan mengenai kes yang sama dan persaksian bercanggah yang disengajakan akan memastikan bahawa yang tertuduh akan terlepas daripada dakwaan membunuh. Lebih penting lagi, pembunuh yang sebenarnya langsung tidak akan dihadapkan ke mahkamah.

Rekod keluar masuk mangsa bunuh Altantuya yang sepatutnya disimpan dalam komputer Jabatan Imigresen telah lenyap tanpa sebab yang munasabah. Memandangkan Altantuya tersabit penglibatannya dengan beberapa orang kenamaan dan pemimpin tinggi Kerajaan dalam kontrak pembelian kapal selam bernilai berbilion Ringgit, jelas bahawa tangan yang tercemar berkuasa melenyapkan rekod Jabatan Imigresen dan juga mempengaruhi perjalanan penyiasatan Polis dan Pendakwaraya.

Kebimbangan rakyat tidak terhad kepada sepuluh perkara ini sahaja tetapi senarai ini cukup untuk menyatakan keresahan rakyat Tuanku. Ke mana rakyat Tuanku akan merayu lagi?

Patik sembah mohon Tuanku mendengar rayuan rakyat Tuanku. Patik sembah mohon Tuanku menangani keadaan gawat dalam negara kita.

Patik tidaklah berdatang sembah berseorangan Tuanku. Sebagai bukti patik menyembahkan bagi tatapan dan perhatian Tuanku senarai tandatangan 12,000 orang rakyat Tuanku yang dengan jujur memohon ihsan pertimbangan dan seterusnya untuk menyambut sebarang titah Tuanku jua. Portal MalaysiaToday juga mengumpul tandatangan secara online di :

http://malaysia-today.net/blog2006/Announcements.php?itemid=8467

dan dalam masa 24 jam pertama, telahpun berjaya mendapat 3,000 tandatangan dan jumlahnya terus bertimbun-tambah.

Akhirul-kalam, patik sekali lagi merafak sembah memohon berbanyak kemaafan sekiranya rayuan atawa petition yang tak sepertinya ini menyentuh kalbu Tuanku secara yang tidak menyenangkan, lantaran berlakunya ucapan atawa tulisan bahasa yang terkasar atawa sebarang adab-sopan yang tercacat. Namun yakinilah Tuanku bahawa yang demikian itu bukan disengajakan dan maksud patik hanyalah untuk merayu kepada Tuanku untuk mencampuri urusan yang diperihalkan dalam warkatul-ikhlas ini memandangkan kesemua pintu telah tertutup dan segala laluan untuk menyelesaikan masalah telah terputus.

Sekian tamatnya sembah patik.

Ampun Tuanku dan Daulat Tuanku!

Patik Yang Taat Setia,


Raja Petra Bin Raja Kamarudin
Pengarang Malaysia Today

Bagi pihak lebih dari 12,000 ahli Malaysia Today yang telah menandatangani petisyen ini secara 'online'

Tidak ada komentar:



VISIT INDONESIA 2008
celebrating 100 years of nation's awakening